nak cari apa?

Wednesday, July 24

semoga roh kalian dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman

saya dapat sumber ni dr mymetro... 
Segamat: “Sejak beberapa bulan lalu arwah menyerahkan wang kepada mak cik untuk dikumpul supaya boleh digunakan membeli keperluan Aidilfitri. Malangnya, dia meninggal dunia ketika bekerja dan kini, mak cik tidak tahu apa mahu dilakukan dengan wang ini,” kata Munah Long, 76, nenek kepada seorang daripada mangsa runtuhan dinding di Tenang, Labis, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, cucunya Engku Mohamad Syahir Engku Abd Malek, 19, meninggal dunia bersama sahabatnya, Mohamad Syazwan Saruddin, 18, akibat parah di kepala dan badan selepas dinding konkrit di pusat cuci kereta tempat mereka bekerja runtuh lalu menghempap dua sahabat itu.

Difahamkan, ketika itu mereka cuba meletak alas kaki kereta di dinding dipercayai reput akibat kebakaran beberapa tahun lalu, sebelum konkrit itu jatuh dan menimpa mereka.
Munah ketika ditemui di rumahnya di FELDA Kemelah mengakui sedih dengan dengan pemergian cucu kesayangannya itu.

“Lebih menyedihkan, arwah memberikan wang kepada saya sejak beberapa bulan lalu supaya dapat menggunakan wang itu untuk membeli pakaian baru pada Aidilfitri ini.

“Malah, arwah berniat membeli pakaian itu bersama sahabatnya (Mohamad Syazwan) selepas pulang kerja semalam (kelmarin), namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.
Menurutnya, arwah kehilangan kedua-dua ibu bapanya beberapa tahun lalu dan sejak itu tinggal bersamanya.

Katanya, arwah bercadang ke Batu Pahat untuk membeli baju raya dan tidak sedap hati ke tempat kerja.
“Arwah ada mengadu sakit belakang, tetapi tetap pergi bekerja kerana sudah berjanji dengan Mohamad Syazwan.

“Kali terakhir saya melihat arwah, dia kelihatan sedih sebelum menunggang motosikal meninggalkan rumah kami.

“Saya reda dengan kejadian itu dan kini hanya wang arwah yang masih dalam simpanan sebagai kenangan,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohamad Syazwan, Saruddin Aris, 45, berkata sebelum arwah pergi kerja, dia memaklumkan mahu berbuka nasi ayam.

“Saya beri sejumlah wang untuk berbuka puasa, namun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Arwah memang bersahabat baik dengan arwah Engku Mohamad Syahir sejak kecil kerana kebetulan kami berjiran, namun tidak menyangka mereka meninggal dunia bersama,” katanya.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Menurutnya, Mohamad Syazwan meninggal dunia pada jam 1.21 tengah hari, manakala Engku Mohamad Syahir pada jam 4 petang selepas dirawat di wad kecemasan Hospital Daerah Segamat.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Kemelah selepas solat Tarawih.

nama arwah sebenarnya ialah ungku, bukan engku. 

No comments: